Afdlin Shauki: "Papadom 2" sangat dekat dengan diri saya

Afdlin Shauki: "Papadom 2" sangat dekat dengan diri saya

5 Dis – Pelakon dan pengarah popular, Afdlin Shauki tak sabar menunggu respons daripada peminat terhadap filem terbaru arahannya "Papadom 2" yang disifatkan Afdlin filem tersebut sangat dekat dengan dirinya.

"Filem "Papadom 2" ini saya hasilkan dengan penuh cermat dan kasih sayang oleh kerana ianya merupakan satu topic yang sangat dekat dengan diri saya.

"Saya berterima kasih kepada semua pelakon yang menjayakan filem ini kerana tanpa usaha mereka mungkin filem ini tidak menjadi sebaik ini," ujar Afdlin yang ditemui selepas majlis pratonton filem "Papadom 2" di Cathay Cineplex ECurve, semalam.

Tambah Afdlin yang juga merupakan salah watak utama dalam filem "Papadom 2" ini, filem adalah satu tanggungjawab di mana beliau percaya setiap filem arahannya tidak boleh menjadi hiburan semata-mata walaupun itulah dikehendaki di pasaran ketika ini.

Jelas Afdlin, sesebuah filem mestilah diselitkan dengan mesej-mesej positif yang membuka minda untuk menambah baik kualiti hidup.

"Jika diteliti dalam semua filem yang saya arah dan terbitkan, ianya mesti mengandungi elemen yang memenuhi objektif itu. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada smeua peminat filem-filem saya yang tidak henti-henti menyokong usaha saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk menaikkan martabat industri filem Malaysia.

"Sekarang ini saya mempersembahkan naskah terbaik yang saya pernah garapkan sehingga kini iaitu filem "Papadom 2"."

Dalam pada itu, Afdlin turut memberitahu bahawa filem "Papadom" akan diangkat ke versi China yang masih lagi dalam proses perbincangan.

"Selepas ini kami dalam perancangan untuk mengangkat filem "Papadom" ke versi China, dan secara tak rasminya saya ingin memberitahu bahawa syarikat produksi yang mana salah seorang penerbitnya adalah Andy Lau menunjukkan minat untuk mengangkat filem "Papadom" ke versi China.

"Namun ia masih dalam perancangan dan masih belum menandatangani sebarang perjanjian."

Selain Afdlin Shauki, filem terbitan Astro SHAW Sdn Bhd dan Ismail Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Vision Works (M) Sdn Bhd mengekalkan beberapa pelakon utama seperti Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Vanidah Imran, Chelsia Ng, Noorkhiriah, Pete Teo, Adham Malekh, dan turut menampilkan pelakon lain seperti Khir Rahman, Hans Isaac, Riezman Khuzaimi, Dira Abu Zahar, Johan Raja Lawak, Ozlynwaty dan ramai lagi.

"Papadom 2" bakal menemui penonton pada 12 Disember ini.