MAIFEI bantu industri hiburan India Malaysia

MAIFEI bantu industri hiburan India Malaysia

25 Okt – Satu lagi sejarah tercipta dalam dunia hiburan apabila Pertubuhan Industri Hiburan & Perfileman India Malaysia (MAIFEI) ditubuhkan bagi memartabatkan dan menyokong golongan karyawan yang bekerja dalam industri hiburan tanah air.

"Objektif ia ditubuhkan adalah bagi memastikan segalanya berjalan dengan adil dan saksama untuk artis dan pengusaha India Malaysia dalam industri ini. Pertubuhan ini akan bekerjasama dengan kerajaan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mempengaruhi industri hiburan.

"Misi kami adalah untuk mengembangkan industri ini secara profesional dan membawa ke peringkat global dengan menghasilkan produk berkualiti tinggi tidak kira dari segi filem, rakaman, drama televisyen, dokumentari, konsert atau teater. Kami mahu ia diiktiraf dan berharga," ujar selebriti popular dan bekas finalis ratu cantik, Geethanjali G. yang merupakan Presiden MAIFEI.

Tambahnya lagi, selain mendapat dana bantuan RM1 juta daripada kerajaan, pertubuhan ini akan turut bekerjasama dengan kementerian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membantu memasarkan produk menerusi rangkaian pawagam, stesen televisyen tempatan dan antarabangsa serta mencari sumber kewangan bagi membantu ahli mereka mencapai sasaran dan impian mereka.

MAIFEI akan membantu syarikat dan personaliti yang terlibat dalam industri hiburan India Malaysia termasuk pengarah filem, penerbit, penyanyi, pemuzik, selebriti, krew produksi, penari dan sebagainya.

Ia juga akan memberi garis panduan bagi memastikan industri ini berkembang secara profesional dan setanding taraf kebangsaan dan antarabangsa.

Selain Geethanjali G., beberapa artis popular India Malaysia lain turut terlibat dalam pertubuhan ini seperti penyanyi veteran S.Sivaguru (Timbalan Presiden), pelawak Satya (Naib Presiden 1) dan vokalis kumpulan Alleycats, Dato' David Arumugam (Naib Presiden 2).