Pencuci mulut keistimewaan Maghribi


Kira-kira seminggu lagi kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri dan mungkin ada di antara anda yang masih tercari-cari juadah istimewa untuk dimakan ketika berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Kali ini kita akan lihat keistimewaan juadah dari Morocco atau Maghribi. Buka puasa atau iftar di negara itu lebih biasa dikenali sebagai ftour dan perkataan itu turut digunakan untuk sarapan pagi.

Kebanyakan tradisi Ramadan di Maghribi masih lagi dikekalkan seperti nefar, dimana seorang lelaki akan berjalan di kawasan kejiranan dengan meniup trompet ketika mula dan berakhirnya Ramadan. Walaubagaimanapun tradisi ini sudah jarang diamalkan di kawasan bandar.

Apa kata kita lihat antara keistimewaan sajian dari negara Maghribi untuk anda cuba.

PEMBUKA SELERA


Harira

Seperti tradisi umat Islam seluruh dunia, buka puasa akan dimulakan dengan memakan buah tamar, diikuti dengan air suam, susu atau jus buah-buahan. Selain daripada itu, Harira iaitu sup campuran lentil, tomato dan kacang kuda akan dihidangkan sebagai pembuka selera sebelum makanan utama. Hidangan itu sangat popular di sana dan boleh dikatakan hampir 90 peratus akan menyajikannya ketika bulan Ramadan. Adakalanya Harira akan dihidangkan bersama telur rebus. Bagi yang tidak begitu menggemari Harira, anda boleh mencuba Hssoua Belboua iaitu sup barli dan susu.

MAKANAN UTAMA


Kuskus


Shakshouka


Mrouzia

Sajian daripada ayam dan daging lembu atau kambing seringkali menjadi pilihan ramai ketika berbuka puasa. Kebanyakannya akan disaji dengan pelbagai cara masakan seperti ala kebab, panggang, bakar atau goreng, dan ada yang dimasukkan bersama dalam nasi. Sajian kuskus dan tajine (campuran daging dan sayur-sayuran direneh perlahan) turut popular di sana. Pengambilan makanan berkarbohidrat seperti nasi penting bagi memberi tenaga selepas seharian berpuasa. Nasi akan dihidangkan bersama lauk-pauk seperti Shakshouka (telur dimasak dalam sos tomato, lada cili, bawang dan rempah-ratus), Mashwi (kambing bakar), Mrouzia (kambing dimasak bersama kismis, badam dan madu) serta salad seperti Zaalouk (campuran terung dan tomato), Taktouka (campuran tomato, lada hijau, bawang putih dan rempah-ratus) akan disajikan ketika panas atau sejuk. Selain daripada itu, msemen iaitu roti leper yang kelihatan seperti lempeng dan dihidangkan bersama mentega, keju dan marmalade turut menjadi pilihan sesetengah orang.

PENCUCI MULUT


M'hanncha


Chebakia

Iftar di Maghribi biasanya akan diakhiri dengan pencuci mulut manis seperti Baklava, Sellou (campuran tepung, badam goreng dan bijan bakar), Makrout (buah tamar yang digulung dengan doh semolina, digoreng dan direndamkan dengan madu), Briouat (pastri dengan isi pes badam), Chebakia (biskut bijan yang diliputi dengan madu), Sfenj (donat dengan gula atau madu), buah tamar sumbat, Ma'amoul (pastri yang diisi dengan buah tamar, badam atau pistachio) dan M'hanncha (lebih dikenali sebagai kek ular Maghribi). Kebiasaannya pencuci mulut akan diminum bersama teh hijau dengan pudina.